KUALA LUMPUR: Prof. Madya Dr. Masliza Mahmod bukan sahaja membanggakan rakyat negara ini kerana terpilih menyertai antara institusi pendidikan terulung dunia iaitu Universiti Oxford di United Kingdom (UK) tetapi lebih hebat lagi apabila berjaya menghasilkan ubat untuk merawat pesakit jantung.
Prof. Madya Dr. Masliza Mahmod yang mengetuai Kumpulan Penyelidikan Klinikal, Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal, (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular universiti itu berkata, ubat tersebut dijangka berupaya mengurangkan risiko dan komplikasi berulang serangan jantung.
“Kajian sebelum ini menunjukkan tanda-tanda positif iaitu ubat tersebut dapat membantu membaiki tahap kesihatan pesakit yang mengalami serangan jantung, berbanding ubat yang ada sekarang.
“Ubat itu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi dijangka dapat memberi harapan besar kepada jutaan pesakit jantung untuk melalui kehidupan normal,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi panggilan video baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai ubat itu kerana melibatkan aspek hak milik paten dan maklumat sulit malah masih berada dalam peringkat penyelidikan.
Dr. Masliza berkata, idea berhubung kajian itu bertujuan mengetahui mekanisme ubat berkenaan selepas seseorang individu terkena serangan jantung.
Menurut beliau, kebiasaannya individu yang pernah mengalami serangan jantung akan mengalami masalah sama ekoran otot di bahagian berkenaan berparut.
“Parut itu boleh memberi tekanan kepada jantung untuk melakukan tugasnya hingga boleh mempengaruhi ritma jantung.
“Antara implikasinya individu boleh terkena serangan jantung berulang, degupan jantung yang terlalu laju dan berasa lemah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Menariknya, kajian berkenaan turut memperoleh kerjasama daripada penyelidik di Jabatan Sains Komputer Universiti Oxford yang menggunakan teknik terkini mengkaji denyutan sewaktu pengambilan ubat berkenaan oleh pesakit.
“Kerjasama kami termasuk mendapatkan geran penyelidikan daripada syarikat farmaseutikal dan berharap dapat memulakan kajian menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Menurutnya yang baru-baru ini dilantik ke jawatan Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, ubat berbentuk oral itu memerlukan pesakit mengambilnya untuk tempoh selama tiga bulan.
IKUTI berita lanjut mengenai Dr Masliza dan pandangan beliau tentang penerimaan masyarakat Barat terhadap orang Asia di GAYA, UTUSAN MALAYSIA ESOK.