Agih kerusi: Bincang dengan parti, bukan individu - Utusan Malaysia

Agih kerusi: Bincang dengan parti, bukan individu

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perbincangan agihan kerusi pilihan raya hanya melibatkan parti dan bukannya individu tertentu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tidak timbul soal sama ada UMNO perlu berbincang dengan mana-mana pemimpin yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Apabila melibatkan perbincangan agihan kerusi pilihan raya, ia antara parti iaitu UMNO dan Bersatu. Tidak timbul isu melibatkan perbincangan bersama dengan individu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas penyertaan Mohamed Azmin ke dalam Bersatu sekali gus menimbul persoalan sama ada kerusi asal bekas pemimpin PKR bakal ditandingi mereka semula atau mengikut kuota parti.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penyertaan Mohamed Azmin seolah-olah menunjukkan Bersatu seperti pokok kiambang kerana tidak mempunyai jati diri yang mudah menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli.

Malah katanya, parti tersebut kini dilihat tidak mempunyai kekuatan akar umbi berbanding UMNO dan Pas sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu bergerak menghadapi pilihan raya.

“Macam UMNO dan Pas, kita ada akar umbi dan pandangan mereka sentiasa diambil kira untuk memperkukuh parti.

“Mereka (Bersatu) hanya menumpang kekuatan orang, jika dahulu Pakatan Harapan (PH) dan mungkin sekarang UMNO dan Pas,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN