KUALA SELANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram (ADUN), Mohd. Shaid Rosli mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa hari ini.
Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin.
Mohd. Shaid berkata, dua pertiga ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Kuala Selangor dan sebahagian besar 13 cawangan turut mengambil keputusan yang sama.
“Saya juga akan melepaskan semua jawatan dalam parti sekali gus menjadi ADUN bebas. Keputusan ini ekoran kemelut yang melanda parti itu selepas penyingkiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pengasas.
“Kami lihat perjuangan asal parti semakin tersasar daripada objektif asal penubuhannya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu.
Dalam pada itu, Kadir, 73, dalam Facebooknya memaklumkan, beliau keluar dari parti sejak Khamis lalu dan telah memaklumkan tindakannya kepada Setiausaha Agung parti.