A-Level: Pelajar Malaysia tidak terkesan - Utusan Malaysia

A-Level: Pelajar Malaysia tidak terkesan

Datuk Azizah Mohd. Dun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelajar-pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian dalam peringkat A-Level di United Kingdom (UK) tidak terkesan dengan penyemakan semula sistem penggredan oleh pihak Penilaian Pendidikan Antarabangsa Cambridge (CAIE).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, semua pelajar persediaan tersebut boleh meneruskan pengajian masing-masing.

“Menurut Atase Pendidikan di London, pelajar Malaysia tidak terkesan dan boleh meneruskan pengajian masing-masing,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.

CAIE dilaporkan akan menyemak semula sistem penggredan A-Level untuk ujian Jun 2020 bagi memastikan markah tidak lebih rendah berbanding markah awal diberikan institusi pengajian pelajar masing-masing.

Perkara tersebut diumumkan badan penilaian tersebut pada Isnin lalu dan perkembangan usaha berkenaan akan dimaklumkan kepada setiap institusi pengajian bermula semalam.

Perkembangan terbaharu itu diyakini memberi kelegaan kepada ramai pelajar yang mengambil ujian berkenaan yang kebanyakannya mengalami penurunan gred apabila markah awal mereka disemak menggunakan sistem penggredan yang menimbulkan kontroversi.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa universiti luar negara juga mula menyatakan komitmen untuk menyemak semula permohonan pelajar yang terkesan dengan sistem tersebut.

Antaranya Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom (UK) yang bersedia memberikan ruang kepada pelajar-pelajar terkesan dalam pengambilan seterusnya di universiti berkenaan.

“Kami cuba untuk menjadi fleksibel, adil dan memahami sebaik mungkin dengan mengesahkan tempat bagi sebilangan besar pelajar (pada syarat) yang sedikit rendah daripada yang kami tawarkan awal tahun ini,” jelas universiti itu dalam kenyataan dalam laman web rasminya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN