JEMPOL: Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Sepadu
di sekitar Bahau yang bermula malam semalam dan berakhir pukul 5 pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Khairiel Mohd. Arif berkata, kesemua PATI yang ditangkap membabitkan 17 warganegara Indonesia, sembilan warga Bangladesh, seorang dari Vietnam dan lima merupakan etnik Rohingya.
“Operasi atas inisiatif Pegawai Daerah Jempol, Shahrul Nizam Salleh ini adalah bagi membanteras kebanjiran PATI selain mengekang penularan wabak Covid-19 membabitkan warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah.
“Op Sepadu ini melibatkan 40 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IOD) Jempol.
“48 orang lagi melibatkan pegawai dan anggota dari Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Jempol, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Penerangan Daerah Jempol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnyal, kesemua PATI berkenaan ditahan dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE