31 penagih dadah ditahan polis - Utusan Malaysia

31 penagih dadah ditahan polis

Sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di sekitar Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seramai 31 penagih dadah termasuk seorang warga Thailand ditahan polis dalam serbuan di kawasan semak di sekitar Kuala Muda, Kepala Batas dekat sini kelmarin.

Kesemua penagih itu ditahan dalam operasi kira-kira 14 jam berakhir pukul 8 malam oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyasarkan sarang penagihan dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, turut dirampas bersama penagih lelaki berusia antara 20 hingga 62 tahun dalam operasi itu adalah sejumlah dadah bernilai RM9,000.

Antaranya, kata beliau, sebanyak 76.4 gram (g) dadah disyaki jenis syabu; (16.1 g) heroin; (19 biji) pil Eramin 5 dan (0.3 g) ganja.

“Ujian air kencing ke atas kesemua suspek yang bekerja sebagai nelayan dan buruh itu juga didapati positif morfin atau methamphetamine,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Noorzainy, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD SPU di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, dua suspek turut direman selama tujuh hari, 10 suspek (empat hari) dan 19 suspek (14 hari) bermula semalam bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN