SEGAMAT: Sebagai tanda menghargai peranan petugas barisan hadapan Covid-19, seramai 292 murid Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Pemanis (1) berjaya menghasilkan kad ucapan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ sempena Sambutan Bulan Hari Kebangsaan 2020 anjuran sekolah itu baru-baru ini.
Guru Besar SK LKTP Pemanis (1), Helmyazizul Abdul Hamid berkata, usaha tersebut yang juga melibatkan murid pra sekolah dan pendidikan khas dengan mereka masing-masing berjaya menyiapkan kad ucapan itu pada minggu lalu.
“Kesemua murid melukis kad ucapan Hari Kebangsaan pada kertas A4 dengan tema Malaysia Prihatin sebagai tanda menghargai para pejuang kemerdekaan termasuk petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu negara mengekang penularan Covid-19.
“Kesemua 292 murid terlibat kemudiannya bergambar bersama hasil lukisan masing-masing di dalam kelas masing-masing dengan menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN