KUALA LANGAT: Seramai 29 kaki judi yang leka bermain mahjong ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah teres di Kampung Jenjarom di sini semalam.
Kesemua ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 5 petang.
Mereka yang ditahan berusia 40 hingga 80 tahun termasuk penganjurnya.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap aktiviti perjudian di rumah tersebut.
Kata beliau, seorang lelaki berusia 60 tahun mengaku sebagai penganjur.
“Mereka cuba melarikan diri namun gagal selepas kawasan tersebut dikepung,” kata beliau di sini semalam.
Zuhairee berkata, antara yang dirampas ialah meja, kerusi, papan dan buah mahjong serta wang tunai lebih RM2,000.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE