15 tahun penubuhan Maritim Malaysia, hanya dua tembakan dilepaskan kepada nelayan warga asing - Utusan Malaysia

15 tahun penubuhan Maritim Malaysia, hanya dua tembakan dilepaskan kepada nelayan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), hanya pernah melepaskan dua das tembakan kepada nelayan warga asing yang menimbulkan ancaman ketika menceroboh perairan negara dalam tempoh 15 tahun penubuhannya sejak 2005.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, seperti mana agensi penguat kuasa lain, agensi itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan ‘Rules of Engagement’ penggunaan senjata api sebelum mengambil tindakan itu kepada mana-mana bot nelayan asing terlibat.

Katanya, ia termasuk melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha mempertahankan diri, nyawa dan aset kerajaan sekiranya bot nelayan terbabit bertindak lebih agresif.

“Apabila wujud kejadian yang mengancam nyawa anggota dan kerosakan harta benda kerajaan, kita ada SOP daan patuh kepadanya mengikut tahap-tahap iaitu memperkenalkan diri dalam keadaan memakai uniform, jadi sepatutnya nelayan asing faham serta menghentikan bot masing-masing.

“Kita bukan suka-suka melepaskan tembakan dan sejak penubuhan Maritim Malaysia pada 2005 iaitu kira-kira 15 tahun lalu, kita cuma pernah melepaskan dua tembakan dalam insiden baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian pameran Maritim Malaysia oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim di galeri Skybridge, jambatan angkat Terengganu di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim; Pengerusi dan Pengarah TI Properties Sdn. Bhd., Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Baru-baru ini, Maritim Malaysia Kelantan dilaporkan terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara selepas pasukan keselamatan itu dibaling bom diesel serta dilanggar oleh bot asing berkenaan.

Dalam kejadian tembakan yang meragut nyawa seorang nelayan itu, nelayan asing terbabit turut dikesan membaling getah yang dibakar ke arah bot Maritim Malaysia manakala kejadian kedua berlaku di Johor membabitkan tekong warga Indonesia yang cuba menyeludup burung murai di perairan Tanjung Kelesa, Bandar Penawar.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Zubil berkata, pihaknya sudah memberi makluman kepada pihak kedutaan kedua-dua negara berhubung kejadian itu dan kes masih dalam siasatan polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN