Polis Johor keluar 589 saman Op Ambang Merdeka - Utusan Malaysia

Polis Johor keluar 589 saman Op Ambang Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis mengeluarkan sebanyak 589 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Op Ambang Merdeka di seluruh 13 daerah negeri ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan M. Kumarasan berkata, dalam operasi itu, sebanyak 20 tangkapan dibuat di bawah pelbagai akta termasuk 11 kes mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Selain itu, polis menahan tujuh remaja berusia antara 15 tahun hingga 22 tahun di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana melakukan aksi bahaya di jalan raya manakala dua lagi tangkapan terhadap suspek-suspek masing-masing berusia 43 tahun dan 57 tahun kerana positif ujian air kencing.

“Operasi yang bermula pukul 9 malam dan berakhir 4 pagi ini mengeluarkan 589 saman melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, mengubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi Op Ambang Merdeka di Jalan Stulang Laut di sini hari ini.

Menurut Kumarasan, operasi itu juga menyita 74 kenderaan pelbagai jenis.

Beliau berkata, operasi itu bagi memastikan sambutan ambang Hari Kemerdekaan tidak dicemari dengan kegiatan tidak sihat seperti lumba haram, memandu di bawah pengaruh alkohol dan penyalahgunaan dadah.

“Operasi serentak di seluruh negeri ini melibatkan seramai 21 pegawai dan 167 anggota,” katanya.

Dalam pada itu,beliau memberitahu, sepanjang bulan ini sahaja terdapat 72 kes tangkapan memandu di bawah pengaruh alkohol dan 40 kes bagi Op Samseng Jalanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya