GEORGE TOWN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini melibatkan syarikat yang berdaftar dengan agensi tersebut.
Timbalan Ketua Pengarahnya, (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, amaun tersebut diperoleh selepas pengauditan ke atas syarikat, pengimport atau pengeksport dilaksanakan menerusi kaedah bersasar.
Beliau berkata, antara kebocoran hasil yang dikesan berpunca daripada kesalahan mengikrar kod tarif barangan, mengelak cukai atau duti, frod komersial, kekurangan membayar cukai output, tuntutan cukai input yang berlebihan serta penyalahgunaan fasiliti zon atau pelabuhan bebas.
“Pada tahun lalu, JKDM mengesan sebanyak RM1.3 bilion ketirisan hasil negara dan daripada jumlah itu kita memperoleh semula hasil ketirisan kira-kira lebih 80 hingga 85 peratus.
“Bagi tempoh setengah tahun pertama 2020 pula, sebanyak RM812 juta ketirisan dikesan. Ini dilaksanakan Bahagian Pematuhan JKDM terdiri 645 pegawai audit,” katanya dalam sidang akhbar Pengauditan Kastam Penyelamat Ketirisan Hasil Negara di sini hari ini.
Johari memberitahu, bahagian tersebut merupakan satu cabang penting bagi mengesan ketirisan hasil negara dan bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas entiti perniagaan.
“Ini bagi memastikan segala perundangan yang ditadbir JKDM dipatuhi serta duti diikrar dan dibayar dengan betul dan tepat.
“Peruntukan undang-undang juga membenarkan JKDM menuntut semula apa-apa duti atau cukai, surcharge, penalti dan wang enam tahun ke belakang dari tarikh sepatutnya dibayar,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JKDM dalam usaha mengutip semula lebihan bayaran kepada tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi tahun 2019 sebanyak RM4.38 juta.
“Kita sudah menggerakkan usaha dalam menyelesaikan perkara melibatkan laporan audit tersebut dan sebanyak 42 daripada 75 transaksi wang lebihan bayaran kepada tuntutan GST telah selesai dipungut semula,” jelasnya.
Menerusi laporan audit negara Isnin lalu, JKDM dikesan membuat lebihan bayaran kepada tuntutan GST sebanyak RM4.38 juta dan disyorkan membuat kutipan balik bayaran terkhilaf itu daripada Orang Kena Cukai (OKC) dalam kadar segera. – UTUSAN ONLINE