120,000 pemandu e-hailing sengsara - Utusan Malaysia

120,000 pemandu e-hailing sengsara

lalulintas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perang harga antara syarikat pengendali operator e-hailing menyebabkan nasib lebih 120,000 pemandu e-hailing di negara ini semakin tidak menentu dan sengsara.

Rata-rata dalam kalangan mereka mengeluh apabila syarikat pengendali didakwa menurunkan kadar tambang semata-mata mahu menarik penumpang.

Akibatnya ramai pemandu mengadu kehidupan mereka tidak keruan kerana pendapatan yang diterima tidak berbaloi dengan sehari suntuk mereka keluar bekerja.

Malah ‘seharian keluar pagi, balik malam, duit minyak pun tak lepas’.

Mendedahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailling Malaysia (Mehda), Daryl Chong seterusnya menggesa kerajaan bertindak segera menangani masalah yang membelenggu industri e-hailing.

“Isu utama adalah tambang. Hingga sekarang belum ada undang-undang walaupun isu ini kami telah perjuangkan sejak 2017. Syarikat (operator) e-hailing terus perang harga.

“Kita minta kerajaan kawal tambang dengan memperkenalkan harga siling dan harga lantai.

“Harga siling penting untuk melindungi pengguna supaya tak ditindas, harga lantai bagi memastikan pemandu terima imbuhan setimpal. Kalau terus berlaku perang harga, yang untung syarikat e-hailing dan penumpang, pemandu ‘mati’,” katanya ketika dihubungi.

Industri e-hailing menjadi pilihan ramai penganggur terutama pasca Covid-19 kerana pekerjaan itu mudah diceburi – pemohon hanya perlu mempunyai lesen memandu dan kereta berusia di bawah 10 tahun.

Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Februari lalu merekodkan terdapat kira-kira 100,000 pemandu e-hailing yang memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam (EVP) di seluruh negara.

Terbaharu, difahamkan bilangan mereka bertambah 20 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 120,000 orang.

Mengulas lanjut, kata Daryl, penyertaan 20,000 pemandu e-hailing baharu tersebut walaupun baik kepada syarikat pengendali dan penumpang namun memberi kesan kepada pemandu keseluruhannya.

“Kebanyakan syarikat e-hailing sebenarnya tidak mempedulikan nasib rakan pemandu mereka.

“Kerajaan perlu serius tangani isu ini supaya industri dapat terus berkembang,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, wujud peraturan tidak selaras antara operator e-hailing yang memberi kesan tidak adil kepada sebahagian pemandu lain.

Lebih menyukarkan keadaan, ada dalam kalangan pemandu mengadu teraniaya apabila ‘job’ (tempahan penumpang) yang diterima digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Realitinya, industri e-hailing kian penting kerana ia membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

Akibat pandemik Covid-19, penganalisis menjangkakan kadar pengangguran di Malaysia menjelang Oktober ini akan mencecah tiga juta orang serta menyebabkan 1.5 juta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ‘gulung tikar’.

Sementara itu, Daryl tidak bersetuju dengan desakan segelintir pemandu supaya kerajaan memansuhkan syarat kenderaan e-hailling tanpa perlu melalui pemeriksaan dan lulus Puspakom.

“Pemeriksaan Puspakom sangat penting untuk memastikan kenderaan dalam keadaan terbaik kerana ini melibatkan nyawa,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, pihak berkuasa wajar memudahkan urusan termasuk menyelaraskan sistem rangkaian berkaitan antara JPJ, Puspakom dan syarikat e-hailing.

“Satu lagi, longgarkan syarat seperti hanya kenderaan berusia lebih lima tahun yang perlu menjalani pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Beliau turut menasihati pemandu tidak mengupah `runner’ untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya pernah dimaklumkan ada pemandu e-hailling sanggup membayar sehingga RM500 kepada ‘runner’ untuk lulus Puspakom.

“Apa yang berlaku ialah ‘runner’ membawa kenderaan itu ke bengkel persendirian untuk diperiksa dengan kos hanya RM200 dan membawa pulang keuntungan atas angin RM300.

“Sebenarnya mudah untuk lulus Puspakom kerana mereka hanya perlu merujuk kepada piawaian ditetapkan dalam laman sesawang sebelum dihantar ke pusat pemeriksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN