KUBANG PASU: Sebanyak 10 sekatan jalan raya (SJR) di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di empat mukim di daerah ini dan Padang Terap ditamatkan bermula pukul 8 pagi ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, semua SJR tersebut dibuka sejak pelaksanaan Temco di kawasan terlibat pada 3 Ogos lalu.
Katanya, lebih 200 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas di sekatan tersebut sepanjang tempoh itu.
“Kesemua SJR di kawasan Temco di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap ditutup pagi ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin mengumumkan PKPD secara pentadbiran di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap di negeri ini dan Kampung Sanglang serta Kampung Tanah Timbul, Perlis tamat bermula semalam.
Beliau berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira tiada kes baharu Covid-19 bagi Kluster Sivagangga dan kesemua penduduk di kawasan terlibat telah disaring.
Empat mukim tersebut ialah Mukim Ah, Hosba dan Binjal di daerah ini dan Kampung Ulu, Mukim Padang Sanai di Padang Terap.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekatan jalan raya di Kilometer 18.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan semalam mendapati beberapa pegawai dan anggota polis yang dibantu anggota ATM mengemas peralatan yang digunakan pada sepanjang sekatan tersebut. – UTUSAN