REMBAU: Seorang lelaki tidak menyangka hasratnya memberi makanan kepada kucing jalanan di Rembau menarik minat luar biasa masyarakat untuk tampil memberi sumbangan dalam bentuk makanan dan wang kepada haiwan itu.
Muhamad Azril Maarof, 38, berkata, dia menerima banyak sumbangan hingga mencecah lebih RM5,000.sepanjang melakukan kerja amal ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
“Semua sumbangan direkodkan dalam buku catatan khas. Malah jika bawa kucing untuk mendapat rawatan turut saya rekodkan.
“Pada awalnya saya hanya mahu memberi makanan kepada kucing jalanan di sekitar pekan Rembau dan Chembong kerana semua kedai makan dan pasar tutup pada awal PKP,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Rembau Permata di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai mula tampil membantu apabila dia memuat naik status di Facebook dalam kumpulan “Rembau Macam-Macam Ado’’ bertanyakan lokasi tumpuan kucing terbiar.
Azril seorang pekerja di sebuah syarikat swasta, kurang tahu kawasan tersebut kerana baru berpindah ke sini tahun lalu.
“Sejak aktif memberi makan kepada kucing terbiar, saya menganggarkan terdapat kira-kira 100 kucing di Rembau dan Chembong dengan ada yang berpenyakit seperti kurap, kutu serta memerlukan rawatan,” katanya.
Susulan kekerapannya memuat naik status ketika membantu kucing jalanan, banyak individu yang berminat untuk menjadi keluarga angkat kepada kucing berkenaan.
“Ada yang tidak pernah bela kucing tapi jadi minat untuk bela bila lihat gambar serta video saya muat naik di Facebook.
“Sedar tak sedar, sudah 15 ekor kucing jalanan diserahkan kepada keluarga angkat. Saya tak ambil upah dan keluarga angkat hanya bayar kos pengangkutan jika kediaman mereka di luar daerah Rembau,” katanya.