Utusan Malaysia tampil segar, 'agresif' - Utusan Malaysia

Utusan Malaysia tampil segar, ‘agresif’

AZNAN BAKAR (kanan) dalam program ‘FB Live Bersama Pengarang Utusan Malaysia’ semasa Majlis Pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! Kembali di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkan semula Isnin ini  menampilkan kandungan lebih segar dan bersifat ‘agresif’.

Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar berkata, pendekatan tersebut sebagai langkah mewujudkan persaingan sektor digital dan laman media sosial terutama Twitter serta Facebook.

Beliau turut menyasarkan akhbar yang diterbitkan pada 1967 itu menjadi rujukan sektor penting termasuk ekonomi.

“Ada perubahan dari segi berita tetapi yang pasti bukan pengulangan sebab kita perlu bersaing dengan media sosial. 

“Jadi apa lagi yang tinggal untuk akhbar? Sebab itu kita perlu jadikan semua segmen menarik untuk dibaca,”  katanya dalam Majlis Pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo Kembali di sini hari ini.

Majlis itu bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pukul 6 petang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Utusan Malaysia Online.

Aznan berkata, Utusan Malaysia mendukung  aspirasi dan perjuangan rakyat di samping segmen berita  politik yang menjadi keutamaan. 

“Kita juga ada ruangan ekonomi yang mampu menjadi rujukan untuk syarikat korporat di samping berita hiburan, luar negara dan sukan yang dapat membantu menaikkan industri terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kelewatan penerbitan semula Utusan Malaysia disebabkan pelbagai faktor.

“Kami  perlu melalui pelbagai proses termasuk perundangan, penyusunan syarikat dan pengambilan kakitangan. Ini bermakna kami bermula dari kosong dan perlu melakukan penyusunan semula.

“Selain itu, kelewatan juga disebabkan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Sementara itu, antara tetamu yang menghadiri majlis pelancaran berkenaan ialah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Setiasuaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dan  Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM),  Muhammad Shahrom Abdul Kalam.

Selain itu personaliti tanah air seperti Datuk Hattan; Datuk Dr. Fazley Yaakob dan  artis Rozita Che Wan turut memeriahkan majlis.

Peraduan ‘Happy Hour’  dengan jumlah keseluruhan RM50,000 diberikan kepada pemenang.

Antara hadiah yang ditawarkan ialah telefon bimbit jenama Iphone 11, wang tunai RM3,000 dan penginapan tiga hari dua malam di Hotel Istana. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN