KUALA LUMPUR: Utusan Malaysia adalah akhbar khazanah yang penuh istimewa, legasi 80 tahun perjuangannya membawa wadah suara, keinginan dan pemikiran masyarakat yang sayangkan agama, bangsa dan negara membuatkan surat khabar ini punyai bisa dan aura tersendiri yang tidak akan sirna.
Sambil menyambut baik kembalinya Utusan Malaysia dan Kosmo! ke arena persuratkhabaran nasional, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Zaini Othman berkata, penerbitan semula akhbar ini adalah kepulangan yang dinanti dan berita kegembiraan buat pembaca tegarnya.
Beliau yang mengakui menjadi pembaca setia kedua-dua akhbar ini sejak di bangku sekolah sehingga alam pekerjaan berkata, Utusan dan Kosmo! bukan sekadar lembaran kertas tersurat berita tetapi ia adalah satu warisan negara yang menceritakan pelbagai cerita untuk dikenang dan diteladani sebagai pengajaran hidup.
Mohd. Zaini juga beranggapan bahawa harga kedua-dua akhbar tersebut yang dijual pada harga RM2 bukan suatu yang membebankan.
“Saya akan terus menyokong penerbitan kedua-dua akhbar ini. Syabas dan terima kasih buat Media Mulia dan sidang editorial kerana sehabis daya usaha untuk hidupkan kembali surat khabar ini demi rakyat Malaysia dan pembaca setianya,” komennya pada hari pertama penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Beliau juga turut mengulas mengenai Kosmo! yang dianggap kecil-kecil api dan masih tegar mengekalkan warna merah sebagai identiti garangnya yang unik.
“Persembahan kandungan beritanya yang beralunkan kontemporari sejak 2004 lagi amat mudah menangkap dan dekat dihati pembaca,” katanya.