KUALA LUMPUR: Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menawarkan kursus bahasa isyarat kepada pelajar universiti itu bermula Oktober ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, usaha itu bagi mengukuhkan penampilan dalam melonjakkan kebolehpasaran graduan universiti tersebut.
“Selain menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa, penawaran kursus bahasa isyarat adalah bertepatan dengan hasrat dan aspirasi UPSI untuk menjadi kampus mesra orang kurang upaya (OKU).
“Usaha ini juga bertujuan untuk menyediakan graduan UPSI dengan nilai tambah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Pengarah PBPU, Sasigaran Moneyam memaklumkan penawaran kursus bahasa isyarat itu membolehkan pelajar dan graduan UPSI berkomunikasi dengan pelajar istimewa di sekolah atau bersama masyarakat termasuk di tempat kerja.
“Kursus bahasa isyarat akan dibuka kepada masyarakat terutama golongan ibu bapa anak OKU (cacat pendengaran) secara intensif dalam tempoh tertentu.
“Sebelum ini PBPU telah menawarkan beberapa kursus bahasa antarabangsa termasuk Cina, Tamil, Jepun, Jerman, Sepanyol dan tidak lama lagi akan menawarkan kursus Bahasa Thai dan Korea,” ujarnya. – UTUSAN