UMNO, Pas, Bersatu belum mahu bincang agihan kerusi - Utusan Malaysia

UMNO, Pas, Bersatu belum mahu bincang agihan kerusi

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada malam ini dijangka tidak akan membincangkan soal pengagihan kerusi, sebaliknya hanya bertujuan untuk memantapkan persefahaman dalam kalangan ketiga-tiga parti tersebut.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, apa-apa perbincangan tentang pengagihan kerusi perlu melibatkan jawatankuasa teknikal dan setakat ini, kerjasama antara ketiga-tiga parti itu masih belum mencapai tahap tersebut.

“Perjumpaan ini hanya untuk mendapatkan persefahaman bersama dahulu. Persefahaman ini yang akan digunakan untuk bergerak ke perbincangan yang lebih serius selepas ini.

“Tetapi perbincangan tentang kerusi memang akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

UMNO, Pas dan Bersatu dilaporkan akan melakukan perjumpaan secara formal pada malam ini bagi membincangkan agenda melibatkan usaha pengukuhan kerjasama sesama parti sebagai kerajaan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, perjumpaan itu menandakan kerjasama yang lebih formal antara ketiga-tiga parti itu yang kini merupakan antara komponen yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sekarang sudah terbentuk satu kerjasama lebih formal antara UMNO, Pas dan juga Bersatu. Isnin malam, wakil tiga-tiga parti akan duduk secara formal buat pertama kali,” katanya seperti dipetik portal PNBBC.

Sementara itu, bagi Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib, ketiga-tiga parti tersebut perlu menjadikan perpaduan bumiputera sebagai agenda utama perundingan mereka secara jangka masa panjang. 

Kata beliau, ketiga-tiga parti itu perlu sepakat supaya kerjasama antara mereka dapat menjadi ‘magnet kuasa’ yang menyatukan masyarakat bumiputera.

“Dalam keadaan dan kedudukan geopolitik hari ini, perpaduan atau muafakat antara parti Melayu dalam kerajaan adalah ibarat satu magnet silaturahim untuk penyatuan orang Melayu di akar umbi. Jadi amat penting tiga buah parti Melayu dalam kerajaan ini membentuk satu silaturahim nasional yang kukuh dan boleh membawa permuafakatan dan perdamaian antara semua pihak.

“Kita harap semua tokoh politik dalam UMNO, Bersatu dan Pas memberikan ‘restu’ dan doa mereka pada agenda politik silaturrahim yang sedang diperkukuh itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya