Tumpuan angin punca banjir kilat di sekitar KL, Selangor - Utusan Malaysia

Tumpuan angin punca banjir kilat di sekitar KL, Selangor

SEORANG lelaki mengharungi banjir kilat di Taman Pasir Mas, Sungai Chua, Kajang kelmarin. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejadian banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kelmarin ekoran hujan lebat beberapa jam dan keadaan itu diramal berlarutan di seluruh negara sehingga awal bulan depan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, walaupun bulan Jun dan Julai biasanya kurang hujan namun tahun ini agak berbeza kerana dipengaruhi Monsun Barat Daya yang membawa angin lemah ketika bertiup ke negara ini.

“Keadaan ini menyebabkan penumpuan angin yang boleh membentuk awan terutama­nya di selatan dan barat semenanjung sehingga menyebabkan keadaan luar biasa lembab ekoran hujan atau ribut petir di kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, penduduk di Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid mendakwa kawasan tersebut dilanda banjir terburuk kelmarin dalam tempoh 15 tahun.

Rozita Ibrahim, 47, berkata, hujan bermula pukul 4.30 petang menyebabkan kawasan didiami dinaiki air dan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang masing-masing.

“Peti ais, televisyen dan katil terapung sampai luar rumah.

“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Riduan Hassan, 55, berkata, kedudukan rumahnya di tanah rendah menyebabkan air masuk hingga ke paras leher.

Riduan yang bekerja dengan syarikat pembersihan berkata, dia terpaksa mengendong isteri­nya yang lumpuh akibat angin ahmar ke tempat lebih tinggi.

“Tiada apa dapat diselamatkan kecuali dokumen penting. Yang paling terkilan kerana tandas baru dibaiki dan kini rosak semula,” ujarnya.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, hujan lebat bermula pukul 6 petang menyebabkan banyak kawasan dinaiki air di daerah ini

Antara kawasan terjejas di pekan Kajang, Sungai Chua, Taman Sri Jambu, Taman Muhibbah, Sungai Sekamat, Kampung Su­ngai Jernih, Jalan Reko dan Taman Jelita.

Menurut Kamarul, pihaknya juga meminta bantuan bomba bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Sebanyak 41 kawasan di lima daerah di Selangor dilanda banjir kilat. Hulu Langat paling ramai mangsa 22, diikuti Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya