Tiga beranak hidup mewah hasil jual dadah  - Utusan Malaysia

Tiga beranak hidup mewah hasil jual dadah 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di Taman Rayhat Makmur, Chukai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi tiga sekeluarga di Taman Rayhat Makmur, Chukai di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 1.45 pagi, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan bersama isteri dan anak sulungnya yang berusia 48 dan 22 tahun kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya merampas ketulan kristal dan pil disyaki syabu dan pil kuda, wang tunai dan pelbagai kenderaan yang semuanya  bernilai kira-kira RM1.5 juta.

“Serbuan menemui tujuh paket syabu dan 51 paket berisi 10,098 biji l dipercayai pil kuda di dalam laci gerobok kayu di sebuah bilik di rumah tiga beranak itu.

“Wang tunai RM321,000  ditemui dalam almari pakaian manakala 14 kenderaan termasuk kereta Nissan Fairlady, BMW 5 Series dan motosikal Y15 turut disita,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.

Roslee berkata, serbuan kedua di sebuah rumah berhampiran pada pukul 6 petang hari sama membawa kepada rampasan wang tunai RM7,415 dipercayai milik rakan kepada tiga keluarga berkenaan yang melarikan diri.

Beliau percaya suspek utama bersama isteri dan anak sulungnya terlibat dalam rangkaian sindiket pengedaran dadah untuk pasaran Kemaman dan Kuantan, Pahang.

Katanya, keluarga berkenaan melakukan kerja menunda kenderaan untuk menjalani kehidupan mewah.

Ketiga-tiga beranak itu negatif dadah namun suspek pertama dan anak lelakinya mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Mereka direman tujuh hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga lagi anak perempuan pasangan itu yang berusia sembilan dan 17 tahun dibebaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN