KANGAR: Kebanyakan pengusaha bot di Kuala Perlis di sini buntu dengan ketiadaan pekerja mahir yang sanggup menangkap ikan sebagaimana nelayan warga asing.
Seorang pengusaha, Iskandar Hamid, 62, berkata, dia bukan tidak memberi peluang kepada pekerja tempatan namun mereka sendiri yang tidak sanggup.
Katanya, sebelum ini, dia mempunyai 72 pekerja membabitkan tiga buah bot miliknya dan rata-rata nelayan Thailand yang mahir mengendalikan bot dan menangkap ikan bekerja dengannya.
“Kini bot sudah beberapa bulan tersadai sejak Mac lalu. Sekarang, hanya tinggal lapan pekerja sahaja.
“Saya sudah berusaha mencari tempatan tetapi mereka tidak sanggup melakukan kerja berat, itu menjadi masalah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Iskandar berharap kerajaan membuka pintu sempadan bagi membolehkan pekerja asing kembali masuk ke negeri ini.
Sejak pandemik Covid-19, dia mengalami kerugian lebih RM300,000.
Dalam pada itu, seorang pemilik bot dan lori penghantaran ikan, Mohamad Shuhairil Somai Kakavari, 27, berkata, dalam tempoh tiga bulan ini, pendapatannya terjejas teruk dengan kerugian sekitar RM90,000.
“Sebelum ini, kita mampu hantar ikan ke seluruh negara membabitkan 2,000 kilogram sehari. Masa Covid-19 ini hanya sekitar 50 kilogram sahaja,” katanya.
Katanya, sebelum ini, dia mempunyai lapan pekerja Thailand namun sekarang mereka sudah pulang ke negara sendiri.
“Nak cari pekerja tempatan yang mahir dan berminat dengan kerja-kerja menangkap ikan memang susah,’’ katanya yang mempunyai dua buah bot.