SEREMBAN: “Selagi masalah aliran sungai tersekat tidak diatasi, selagi itu kami terpaksa berdepan dengan masalah banjir,” kata seorang penduduk, Syed Roslan Syed Rahiman, 39, yang kediamannya sering dinaiki air di Kampung Bemban di sini.
Menurutnya, masalah banjir di kampung itu bukan isu baharu tetapi sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu malangnya sehingga kini tiada jalan penyelesaian.
Jelasnya, masalah utama banjir di kampung itu adalah aliran air Sungai Bemban yang tersekat akibat pembangunan di kawasan hulu dan hilir sungai berkenaan.
“Di bahagian atas sungai ini ada kawasan perumahan baharu dan di bawah pula projek pembinaan landasan kereta api, kampung kami terletak di tengah-tengah.
“Apabila hujan lebat, berlaku air bercampur lumpur mengalir laju tetapi alirannya tersekat ketika melalui pembentong di bawah projek landasan kereta api menyebabkan berlakunya banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN ONLINE