KUALA LUMPUR: Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU) diminta menyegerakan pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelbagai maklum balas dan pematuhan telah dilaksanakan USIM terhadap saranan, syarat dan kriteria tambahan yang dikenakan.
Justeru katanya, adalah sesuatu yang menghairankan apabila USIM masih belum mendapat kelayakan penuh oleh LKPU yang dipengerusikan Peguam Negara.
“Penawaran program akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikawal selia dengan ketat oleh Senat Universiti, Lembaga Pengarah Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia.
“Malah, program seperti undang-undang, sebelum dilaksanakan perlu melalui pelbagai proses kawal selia termasuk penubuhan board of studies yang dianggotai pakar dalam pelbagai bidang kepakaran khusus.
“Jadi, saya sangat musykil dengan kesukaran yang dihadapi USIM dalam mendapatkan kelayakan penuh daripada LKPU,” katanya di sini semalam.
Mohamad berkata, keadaan itu menyebabkan graduan USIM tidak diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela.