LARUT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyusun semula skop penugasan dan gerak kerja Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan kedudukannya lebih dipandang tinggi pada mata masyarakat, termasuk membekalkan semula pasukan itu dengan senjata api.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia termasuk melakukan proses ‘peremajaan’ Rela iaitu memperkenal had umur tertentu sahaja dibenarkan menganggotai pasukan itu dan melakukan tugasan di lapangan.
Pada masa sama, katanya, KDN sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bersama pihak polis bagi membenarkan anggota Rela berkelayakan dibekalkan senjata api ketika melakukan tugasan, selain menjalankan tanggungjawab menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Ketika ini kita sedang melakukan deraf terhadap penggubalan penyusunan semula itu yang dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri di KDN Bersama RELA Larut Matang dan Selama di Felda Ijok dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Exco Kerajaan Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Akmal Kamaruddin; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz; Pemangku Ketua Pengarah Rela, Kamarudin Mohd. Rapig dan Pengarah Rela Negeri Perak, Kamarul Izam Kamal.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, berkata apabila penstrukturan semula itu dilakukan nanti, hanya mereka pada usia tertentu dan sihat boleh dibekalkan senjata api dan bertugas di lapangan manakala yang sudah berusia ditempatkan untuk tugasan di pejabat sahaja.
Tindakan ini dilakukan kerana beliau tidak mahu lagi ada persepsi rakyat yang melihat tugasan Rela hanya untuk mengawal trafik ketika majlis keramaian sebaliknya akan diberi peranan turut bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.
“Bukan sebab kita tak nak mereka (sukarelawan yang berusia) tidak bertugas lagi tetapi nak memastikan yang bertugas itu benar-sihat supaya tak timbul masalah lain.
“Saya ambil kira dalam waktu kita menangani Covid-19 bila kita pusing di Kuala Lumpur sebagai contoh anggota Rela yang bertugas (di barisan hadapan) ada yang sudah berusia, jadi kita rasa kasihan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata sebanyak 10 peratus kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kulim akan diperuntukkan kepada anak sukarelawan Rela bermula tahun depan.
Ujarnya, langkah itu bagi menghargai pengorbanan anggota Rela dan boleh menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk menganggotai pasukan itu.