PRU-15: Adakah nak tunggu keadaan bertambah buruk? - Utusan Malaysia

PRU-15: Adakah nak tunggu keadaan bertambah buruk?

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar disegerakan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini dilihat masih tidak stabil dan berpotensi membawa negara berdepan masalah lebih besar.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, antaranya, memburukkan lagi ekonomi negara yang sudah pun terjejas akibat pandemik Covid-19, yang membawa pula kepada pengangguran serta peningkatan kes jenayah.

“Saya rasa elok kita serah mandat kepada rakyat kerana kerajaan sekarang ni tak begitu kuat, tak stabil, masih lemah. Kita nak tarik pelabur datang ke mari kerana pengangguran kian meningkat. 

“Sekarang ini dah hampir sejuta orang menganggur dan unjuran pada awal Oktober mungkin jumlah itu bertambah menjadi dua juta lebih.

“Jadi apakah kita nak tunggu segala-galanya menjadi buruk baru nak mengadakan pilihan raya. Itu persoalan yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Masjid Razaleigh di Bandar Lama Gua Musang, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh menyeru orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini, iaitu memakai pelitup muka di tempat awam di samping terus mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri.

“Kalau tengok kepada jururawat, doktor, mereka bekerja siang malam, tak berehat pun. Kita nak juga mereka ada masa untuk berehat. Tempat yang disediakan bagi merawat pesakit pula terhad. Jadi patuhi apa yang dinasihatkan pihak berwajib,” katanya.

Mengulas mengenai Masjid Razaleigh, beliau berkata, masjid model Masjidilharam yang menelan kos lebih RM30 juta itu sepatutnya dibuka pada Hari Raya Aidiladha ini, namun terpaksa ditangguhkan kerana Covid-19 masih mengancam negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya