KUALA LUMPUR: Politik Sabah bergolak apabila Tan Sri Musa Aman mendakwa telah mendapat sokongan majoriti wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau telah membentuk gabungan baharu membabitkan ahli dewan undangan negeri (ADUN) dari pelbagai parti.
“Saya juga ingin memaklumkan yang Menteri Keselamatan dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Musa berkata, Yang Dipertua Negeri Sabah meminta beliau mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan itu.
“Saya telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai,” katanya.
Musa berkata, kerajaan gabungan baru akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir pada saat ini akibat kelemahan Kerajaan Parti Warisan termasuk dalam mengatasi penularan wabak Covid19.
“Bersama dengan bantuan kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang2 pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong saya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya dari semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sabah mempunyai 65 ADUN termasuk lima yang dilantik dan Musa perlu membuktikan mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 33 ADUN untuk membentuk kerajaan baharu.
Sebelum ini Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membayangkan gabungan baharu di Sabah dikenali sebagai BN Sabah plus plus.