PKPP: 22,402 diminta kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

PKPP: 22,402 diminta kuarantin kendiri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berlangsung bermula 10 Jun sehingga 20 Julai lalu, sebanyak 22,402 individu telah diperintahkan kuarantin kendiri dan 78 lagi dibawa ke hospital.

Mereka ini merupakan 22,480 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada 20 Julai, sebanyak 403 rakyat telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari United Kingdom, Indonesia, Qatar, Singapura, Pakistan, Jepun, China dan Thailand.

“Kesemua 403 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kebelakangan ini, penularan Covid-19 menunjukkan peningkatan di peringkat global dan pada 20 Julai lalu, lebih 14 juta kes positif Covid-19 telah dilaporkan di seluruh dunia termasuk 603,000 kes kematian.

Sejak tiga hari lepas, kes baharu yang dilaporkan di seluruh dunia melebihi angka 200,000 orang sehari.

Ini juga menyumbang kepada peningkatan jumlah kes di Malaysia apabila rakyat pulang dari luar negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan mendapati masih terdapat individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah dan sikap degil mereka ini mengundang risiko penularan tempatan.

Katanya, kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin kendiri yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“Tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun RM1,000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN