Pil kuda RM2 juta dirampas - Utusan Malaysia

Pil kuda RM2 juta dirampas

RAZARUDIN Husain menunjukkan pil kuda yang dirampas di IPK Perak, Ipoh, Perak. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Satu sindiket pengedaran pil kuda menggunakan kanak-kanak bagi mengaburi pihak berkuasa berjaya ditumpaskan dengan rampasan 200,000 biji pil bernilai RM2 juta Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sindiket itu menggunakan kanak-kanak bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan sekatan jalan raya pihak polis.

Menurutnya, sindiket itu berjaya ditumpaskan selepas polis menahan 10 individu termasuk sepasang suami isteri dan dua kanak-kanak dalam serbuan berasingan di Ipoh dan Kampar.

Kata beliau, mereka terdiri daripada tujuh individu iaitu tiga lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak yang ditahan di parkir sebuah hotel di Ipoh pada pukul 11.45 pagi. 

“Dalam serbuan yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak itu, pemeriksaan menemukan satu guni mengandungi 33 bungkusan kertas diisi 200,000 biji pil kuda bernilai RM2 juta.

“Hasil soal siasat daripada tangkapan pertama, polis melakukan serbuan kedua dan menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di Kampar pada pukul 1 petang hari sama. 

“Pil berkenaan dipercayai diambil dari negara jiran untuk pasaran luar negara,” katanya dalam  sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan.

Razarudin berkata, semua suspek berusia 21 hingga 54 tahun direman antara tujuh dan lima hari manakala dua kanak-kanak dibebaskan dan diserahkan kepada penjaga mereka yang sah.

“Polis turut merampas empat buah kereta yang digunakan suspek bernilai RM155,000 dan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2.15 juta. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN