AKHBAR Utusan Malaysia yang diterbitkan pada tahun 1967 dan akhbar kembarnya Kosmo! yang diterbitkan pada 2004 menjadi saksi kepada pelbagai sejarah dan pembangunan negara. Ia turut berperanan sebagai wadah mengangkat martabat bangsa, menyebar maklumat dan idea selain melontar kritikan membina.
Malangnya, penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! terpaksa dihentikan ekoran penutupan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad pada 9 Oktober 2019.
Namun, mulai hari ini, 20 Julai 2020, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! telah diberi sinar baharu menerusi penerbitan semula oleh Media Mulia Sdn. Bhd. Penerbitan semula kedua-dua akhbar ini dapat memainkan peranan dalam pembinaan negara yang cemerlang, di samping menjadi wadah bagi membina masyarakat yang bermaklumat dalam era digital yang penuh dengan pelbagai maklumat.
Beta berharap penerbitan semula kedua-dua akhbar ini dapat mengangkat profesion kewartawanan serta akhbar berbahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Lebih penting lagi, akhbar Utusan
Malaysia dan Kosmo! akan terus berupaya menjadi saksi kepada lipatan sejarah negara dan menyuburkan hak kebebasan bersuara.
Beta merakamkan ucapan tahniah kepada Utusan Malaysia dan Kosmo! serta pengurusan Media Mulia Sdn. Bhd. atas pelancaran semula akhbar ini. Selamat maju jaya kepada Utusan Malaysia dan Kosmo! – UTUSAN