Penjualan anak syarikat Tabung Haji dikaji semula - Utusan Malaysia

Penjualan anak syarikat Tabung Haji dikaji semula

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelupusan anak syarikat Tabung Haji Plantations Berhad (TH Plantations) iaitu Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd. dan Maju Warisan Mas Sdn. Bhd. melibatkan keluasan ladang sebanyak 6,514 hektar kepada syarikat bukan bumiputera, Tamaco Plantation Sdn. Bhd. disemak semula.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, penjualan dibuat kerajaan sebelum ini sedang menunggu kelulusan daripada Unit Perancangan Ekonomi.

Katanya, kerajaan perlu melakukan semakan semula terhadap harga penjualan sama ada ia selaras dengan pasaran atau sebaliknya.

“Setelah Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Februari lepas, keyakinan pelabur semakin meningkat dan harga minyak sawit mentah kian memulih disebabkan hubungan antarabangsa kembali terjalin.

“Jabatan Perdana Menteri akan menilai semula keputusan penjualan ladang secara besar-besaran ini sama ada ia wajar atau tidak,” katanya ketika menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah justifikasi penjualan aset ladang TH Plantations, di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, keputusan menjual 14 anak syarikat TH Plantations yang memiliki ladang berkeluasan 76,957 hektar bersamaan dengan 76.2 peratus daripada keseluruhan ladang dibuat pada Ogos tahun lalu. 

Jelasnya, dengan persetujuan penjualan itu, keluasan ladang berkurangan kepada hanya 24,000 hektar daripada jumlah keseluruhan iaitu 100,976 hektar.

“Daripada 14 anak syarikat ini, empat daripadanya mencatatkan keuntungan,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN