Peniaga aksesori kereta cedera dirompak - Utusan Malaysia

Peniaga aksesori kereta cedera dirompak

RAKAMAN CCTV dua suspek bermotosikal cuba meragut rantai emas peniaga aksesori kenderaan di Sitiawan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang peniaga aksesori kereta cedera selepas rantai emasnya cuba diragut ketika bergelut dalam kejadian cubaan merompak di premis perniagaannya di Sitiawan dekat sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata dalam kejadian itu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal datang ke premis berkenaan dengan seorang daripadanya pura-pura mahu membaiki kenderaan manakala seorang suspek berada atas motosikal.

“Secara tiba-tiba suspek mengacukan pisau dan meminta mangsa menyerahkan rantai emas dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, mangsa bagaimanapun bertindak mempertahankan diri dan berlaku pergelutan dengan suspek sehingga menyebabkan rantai emas itu putus dan jatuh atas lantai.

Katanya, terkejut dengan tindakan mangsa, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri tanpa sempat mengambil rantai emas itu.

“Pergelutan itu menyebabkan mangsa yang berusia 30-an cedera ringan di leher, pergelangan tangan, jari manis dan hidung, dan sudah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Seri Manjung,” katanya.

Nor Omar berkata, polis sudah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kini sedang giat mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. 

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurain Yahaya di talian 017-2045059 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya