JOHOR BAHRU: Walaupun terpaksa menanggung peningkatan kos operasi, para pengusaha bas atau van sekolah tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Menurut salah seorang pengusaha bas, Sufian Saadon, 43, berkata, pihaknya perlu menampung lebih kos operasi seperti minyak kerana perlu melakukan dua perjalanan ekoran jumlah penumpang terpaksa dihadkan berikutan penjarakan sosial.
Meskipun begitu, katanya, pengusaha bas dan van sekolah di sini memahami pelaksanaan SOP dalam normal baharu yang perlu dipatuhi bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda negara sejak Mac lalu.
“Kami bersyukur kerana perkhidmatan bas dan van sekolah dapat disambung semula kerana ini merupakan punca pendapatan utama kami walaupun ada beberapa penumpang membatalkan perkhidmatan bas dan van akibat penutupan sementara sekolah sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, di sini semalam.
Kerajaan sebelum ini membuat keputusan membuka semula sesi persekolahan di seluruh negara dengan menetapkan beberapa SOP yang perlu dipatuhi semua pihak, termasuk pengusaha bas dan van sekolah.
Difahamkan antara SOP ditetapkan termasuklah pemakaian pelitup muka, penggunaan pencuci tangan serta muatan penumpang mengikut kapasiti kenderaan yang dibenarkan.
Seorang lagi pengusaha van sekolah yang ditemui, Norhanani Aziz, 39, pula memberitahu, sekali pun terpaksa berhadapan risiko kenaikan operasi, pihaknya tidak menaikkan tambang bas sekolah.
Katanya, pelaksanaan SOP itu satu tindakan yang bagus memandangkan tahap keseriusan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk mengikuti SOP ditetapkan kerajaan seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan pencuci tangan serta kapasiti penumpang.
“Kesemua ini perlu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terjaga khususnya murid-murid sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, Norhanani berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan buat pengusaha van atau bas sekolah dalam membantu mereka mengurangkan kos yang perlu ditanggung seperti bahan api dan penyelenggaraan kenderaan. – UTUSAN ONLINE