Pengusaha bot nelayan Kuala Perlis berdepan risiko gulung tikar - Utusan Malaysia

Pengusaha bot nelayan Kuala Perlis berdepan risiko gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para pengusaha bot nelayan di Kuala Perlis di sini berdepan risiko gulung tikar jika kerajaan masih tidak membenarkan kemasukan pekerja atau nelayan warga asing dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Tong, 58, berkata, nasib pengusaha bot nelayan kini seperti telur di hujung tanduk dan menunggu masa untuk ‘bungkus’.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat memberi sedikit kelonggaran dengan membenarkan kemasukan warga asing khususnya dalam sektor perikanan.

“Ketiadaan pekerja tempatan yang sanggup bekerja sebagai nelayan menyebabkan kami tidak boleh turun ke laut sekali gus menanggung kerugian setiap hari.

“Kalau keadaan berterusan, tidak tahu lah apa nasib kami, tidak mustahil dalam tempoh sebulan lagi, kami terpaksa gulung tikar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 150 pengusaha bot nelayan di Kuala Perlis mengalami kerugian dianggarkan lebih RM60 juta selepas hampir empat bulan tidak turun ke laut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac lalu.

Lebih malang, apabila kerajaan memberi kelonggaran melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pengusaha bot terbabit masih tidak dapat turun ke laut berikutan ketiadaan pekerja yang kebanyakannya warga asing dari Thailand.

Kira-kira 1,600 nelayan dari Thailand yang bekerja antara 10 sehingga 15 tahun itu telah dihantar pulang ke negara mereka berikutan pandemik Covid-19.

Sehingga hari ini, pekerja terbabit masih tidak dibenarkan kembali apabila kerajaan belum membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini.

Sementara itu, Seak Tong memberitahu, hanya sekitar 20 bot yang keluar ke laut ketika ini dan bot selebihnya masih tersadai.

“Kami akan mengikut apa sahaja yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul terhadap pekerja warga asing ini. Sekali lagi saya berharap kerajaan melihat masalah kami ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya