KANGAR: Kira-kira 150 pengusaha bot nelayan di Kuala Perlis di sini mengalami kerugian dianggarkan lebih RM60 juta selepas hampir empat bulan tidak turun ke laut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac lalu.
Lebih malang, apabila kerajaan memberi kelonggaran melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pengusaha bot terbabit masih tidak dapat turun ke laut berikutan ketiadaan pekerja yang kebanyakannya warga asing dari Thailand.
Kira-kira 1,600 nelayan dari Thailand yang bekerja antara 10 sehingga 15 tahun itu dihantar pulang ke negara mereka berikutan pandemik Covid-19.
Sehingga hari ini, pekerja terbabit masih tidak dibenarkan kembali apabila kerajaan belum membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini.
Pengerusi Persatuan Perniagaan Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Tong, 58, memberitahu, setiap seorang pengusaha dianggarkan mengalami kerugian paling minimum sekitar RM100,000 sebulan atau RM400,000 dalam tempoh empat bulan.
Katanya, jumlah RM400,000 jika dihitung dengan kesemua 150 pengusaha bot di sini, menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM60 juta dalam tempoh tersebut.
Selain itu, katanya, masalah ketiadaan pekerja turut menghantui para pengusaha di sini apabila hanya sekitar 10 bot yang keluar ke laut ketika ini.
Jika sebelum ini, jelasnya, para pengusaha boleh menghasilkan lebih 1,500 tan ikan sebulan namun kini, hanya 10 tan sahaja.
“Boleh dikatakan semua pengusaha mengupah nelayan warga asing dari Thailand yang mahir dan berpengalaman untuk turun ke laut menangkap ikan. Apabila kerajaan tidak membenarkan warga asing kembali buat masa ini, ia menyukarkan kami.
“Kami cuba cari pekerja tempatan namun kebanyakan mereka tidak sanggup turun ke laut selain tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan.
“Kita berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan kembali warga asing kembali bekerja,’’ katanya.