KOTA TINGGI: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati manakala keretanya dirosakkan sekumpulan gajah liar di sebuah lombong pasir di Batu 6, Simpang Perani, Mawai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Misran Tukijoh, 56, dari Batu 12, Kampung Mawai Baru ditemui terbaring hanya berseluar hitam dengan kesan lebam di lokasi kejadian.
Katanya, polis menerima maklumat pukul 10.30 pagi dan siasatan menemui kesan tapak kaki gajah dan seretan terhadap mangsa.
“Pemeriksaan juga mendapati kereta Honda mangsa kemek di bonet dan pintu,” katanya. dalam satu kenyataan.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya sedang mengesan gajah tersebut dan jika berjaya ditangkap, haiwan itu akan dihantar ke Taman Negeri Endau Rompin Pahang.
Katanya, sepanjang tahun ini terdapat dua kes membabitkan serangan gajah terhadap orang ramai di sini dengan satu insiden melibatkan kematian dan satu cedera.
“Tahun lalu pun sama mencatatkan dua kes termasuk satu kes mati,” katanya. – UTUSAN ONLINE