TANGKAK : Seorang pelajar tingkatan lima cedera cedera teruk di lutut akibat dibelasah tiga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada sikap saling cabar-mencabar antara pelajar terlibat sehingga mencetuskan pergaduhan.
“Kejadian berlaku waktu pagi ketika sesi persekolahan pada 27 Julai lalu. Mangsa dipukul tiga pelajar tingkatan tiga sehingga dia cedera parah di lutut,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, mangsa dikejarkan ke Hospital Muar oleh pihak sekolah dan dia masih dirawat.
Mohd. Fadhil berkata, abang mangsa membuat laporan polis selepas mendakwa pihak sekolah gagal memberikan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
Jelasnya, polis kemudian menahan reman tiga pelajar sehingga 2 Ogos ini untuk membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.