Pekerja bengkel didakwa pukul anak guna kabel  - Utusan Malaysia

Pekerja bengkel didakwa pukul anak guna kabel 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pekerja bengkel dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul anak perempuannya berusia enam tahun menggunakan kabel, minggu lalu. 

Muhamad Imran Jasni, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan  yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memukul tangan, bahu dan kaki kiri serta kaki kanan anaknya menggunakan kabel berwarna hitam. 

Tindakan itu dilakukan antara pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang di sebuah rumah di Merlimau, Jasin pada 14 Julai 2020. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon tiada jaminan  terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin  RM10, 000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai. 

Norma menetapkan tarikh 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya