KUANTAN: Pahang akan mengekalkan ‘status quo’ pengagihan kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini bermakna, selepas ditolak kerusi DUN yang kini disandang oleh BN iaitu 25 kerusi dan Pas yang membabitkan lapan kerusi, hanya sembilan kerusi yang akan terbabit dalam pembahagian.
Sembilan kerusi yang dimenangi PKR dan DAP dalam PRU-14 adalah Tanah Rata, Tras, Semambu, Bilut, Sabai, Teruntum, Mentakab, Ketari dan Triang.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbincangan akan diadakan antara UMNO, Pas, MCA dan MIC bagi menentukan parti yang akan bertanding di sembilan kerusi terbabit.
“Ada merit-merit tertentu, ada sifir-sifir tertentu yang akan diguna pakai,” katanya kepada Utusan Malaysia di Wisma Sri Pahang di sini.
Bagi 14 kerusi Parlimen pula, Wan Rosdy berkata, belum ada perbincangan diadakan dan beliau harus merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.