Osman Sapian cabar Nur Jazlan bertanding di Pulai - Utusan Malaysia

Osman Sapian cabar Nur Jazlan bertanding di Pulai

OSMAN Sapian menyampaikan sumbangan Aidiladha di Taman Bukit Kempas, Johor Bharu hari ini. UTUSAN/JUANI MUNIR ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketegangan antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) negeri kian memuncak apabila bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mencabar Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed bertanding di kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Osman menyatakan hasrat demikian ekoran beberapa kenyataan Nur Jazlan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini termasuk menyifatkan kehadiran parti itu seperti ‘sekadar melukut di tepi gantang’ atau dalam erti kata lain tidak penting.

“Saya cabar dia kalau hendak bertanding lawan saya, saya bertanding lawan dia, Insya-Allah saya boleh menang. Bertanding di atas tiket parti apa? Itu tidak kiralah.

“Orang politik ini biasalah kalau dah berhenti lama, dia meroyan. Sebab dia pernah jadi Timbalan Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan. Sekarang pula dia tidak mempunyai apa-apa jawatan, sebab itu meroyan sampai hendak pilihan raya cepat,” katanya ditemui selepas majlis serahan sumbangan Aidiladha dan lembu korban di sini.

Beliau mengulas beberapa kenyataan Nur Jazlan terhadap Bersatu Johor dengan menyatakan hubungan UMNO dengan parti itu rapuh terutamanya melibatkan formula agihan kerusi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menjangkakan Nur Jazlan bakal mengalami kekalahan sekali lagi jika mencuba nasib semula di kerusi Parlimen Pulai setelah melihat jumlah undi diterimanya sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dulu dia kalah majoriti lebih 20,000 undi dengan penyandang Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Malah ketika pilihan raya sebelum itu, dia hanya menang lebih 3,000 undi sahaja.

“Jadi suruh dia buat kerja berfaedah dahulu, jangan banyak bercakap kepada media. Suruh dia banyak turun bawah. Lagi satu, berkenaan dia cakap Bersatu macam melukut di tepi gantang, saya nak jawab, sebenarnya ahli dan jentera kita lagi ramai daripada UMNO,” katanya.

Sementara itu, Osman menjelaskan beliau tidak mahu lagi untuk menjadi calon PRU-15 kerana pernah merasai kedudukan jawatan tertinggi sebagai Menteri Besar dan menjadi ADUN selama dua penggal.

Sebaliknya beliau masih bercita-cita untuk mencuba nasib di peringkat Parlimen kerana tidak pernah diberi peluang demikian.

“Kalau beri peluang, saya ingin jadi calon Ahli Parlimen, di mana-mana tak kisah, tapi jika dapat di Pulai lagi bagus. Namun, saya bukan Ketua Bahagian Bersatu Pulai, sebaliknya ketua di Ayer Hitam. Sudah tentu bahagian di sini pilih calon mereka.

“Tetapi terpulang pada pucuk pimpinan parti, kalau saya diperlukan lagi untuk dicalonkan dan bertanding di mana-mana yang fikir saya layak dan boleh menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya