KUALA LUMPUR: Berikut kronologi keputusan mahkamah:
3.05 pm: Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan proses rayuan. Mahkamah memerintahkan pihak pembelaan untuk mengemukakan rayuan.
1.12 pm: Najib ditahan sementara dalam bilik saksi mahkamah sementara menunggu prosiding bersambung pukul 2 petang ini.
12.51 pm: Mahkamah tangguh bersambung pukul 2 petang.
12.50 pm: Mahkamah meminta pihak-pihak berhujah sama ada rayuan bagi meringankan hukuman boleh ditangguhkan selama beberapa hari sebelum hukuman dijatuhkan. Hakim Mohd. Nazlan memberitahu, sekiranya beliau tidak berpuas hati, prosiding akan diteruskan dengan rayuan berhubung hukuman.
12.20 pm: Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Mahkamah meminta peguam bela untuk membuat rayuan bagi hukuman. Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar pihaknya diberikan sesalinan keputusan ringkas oleh Hakim Mohd. Nazlan bagi membolehkan pihaknya menyediakan rayuan.
11.55am: Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam tuduhan pecah amanah. Sebaliknya pihak pendakwaan telah berjaya menunjukkan melangkaui keraguan munasabah bahawa Najib telah menggunakan wang sebanyak RM42 juta untuk kegunaan peribadi seperti pembayaran kad kredit dan percutian.
11.51am: Mahkamah mendapati pembelaan Najib bahawa wang berjumlah RM42 juta adalah derma diterima daripada diraja Arab tidak boleh diterima pakai dan tidak logik.
11.50am: Hakim sedang memberi alasan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.
10.43am: Mahkamah Tinggi mendapati pihak pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan atas imbangan kebarangkalian bagi pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.
Mahkamah kini sedang membacakan keputusan bagi tiga pertuduhan pecah amanah.
10.14am: Beberapa penyokong Datuk Seri Najib Razak berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sambil melaungkan ‘Allahu Akbar, Hidup Bossku, Hidup Najib!’ bagi menyatakan sokongan terhadap beliau.
Salah seorang penyokong, Suzzana Anuar, 38, berkata, dia berharap agar keputusan terhadap kes perbicaraan Najib Razak hari ini berpihak kepada beliau.
“Kita semua tahu bahawa sejak dari mula lagi Najib tidak bersalah jadi saya mahu keputusan menyebelahi beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abidin Zainon, 61, turut berpendapat agar semua pihak memberi sokongan penuh terhadap Najib Razak.
“Saya mahu mahkamah menilai seadil-adilnya…kita semua tahu beliau tidak bersalah berhubung skandal yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Hamzah Durani, 70, ketika ditanya dia tetap dengan pendirian dan sokongannya.
“Mestilah nak hari ini Najib dilepas dan dibebaskan,” katanya.
9.57am: Najib dilihat memasuki dewan Mahkamah Tinggi Jenayah, Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tidak kelihatan di dewan mahkamah.
Turut kelihatan dalam mahkamah ialah anak Najib, Norashman dan anak tirinya Riza Aziz.