KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru sahaja keluar dari kediamannya sekitar pukul 9. 15 pagi tadi.
Beliau yang dilihat menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam bernombor plat TN2020 menuju keluar dari halamannya serta diiringi pegawai dan anggota polis.
Sejak pukul 7 pagi tadi, pihak terbabit sudah mula berkumpul bagi mengawal keadaan di sekitar kediamannya.
Namun, tiada sebarang kekecohan berlaku kerana penyokong hanya berkumpul di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sahaja.
Najib hari ini berhadapan dengan keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Tanggal 28 Julai 2020 bakal dicatat sebagai detik penting dalam sejarah kehakiman Malaysia yang menyaksikan Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada Najib, yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-67 Khamis lepas, didapati bersalah atau sebaliknya.
Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali akan menjadi tumpuan kerana beliau bakal menentukan nasib Najib apabila memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan dalam kes itu, yang dijangka diumumkan pada kira-kira pukul 10 pagi. – UTUSAN ONLINE