Murid maut terperosok bawah lori - Utusan Malaysia

Murid maut terperosok bawah lori

ANur Atiqah Saadin, sebak selepas mengetahui anaknya, Nur Aqilah Husna Abdullah, 9, maut dalam kemalangan di Jalan Panchor M17 berhampiran Jalan Maju Kampung Panchor, Alor Gajah. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kegembiraan seorang murid kembali ke sekolah selepas hampir lima bulan bercuti tidak kesampaian apabila dia mati terperosok bawah lori dalam nahas di Jalan Panchor M17, berhampiran Jalan Maju, Kampung Panchor semalam.

Sejak dua hari lalu, Nur Aqilah Husna Abdullah,9, murid tahun tiga teruja untuk memulakan semula sesi persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana.

Ibu mangsa, Nur Atiqah Saadin, 31, berkata, dia amat terkilan bukan sahaja sebab hajat anaknya tidak kesampai­an tetapi dia juga tidak sempat bercakap dengan arwah anak­nya ketika menghubungi bekas suami dua hari lalu.

Menurutnya, sejak bercerai dua tahun lalu, Nur Aqilah dan seorang lagi anak mereka, Mohd. Ammar Darwish, 4, tinggal bersama bekas suaminya.

Kali terakhir dia bertemu dengan anak-anaknya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tinggal berjauhan dengan mereka.

“Namun, hampir setiap hari kami berhubung melalui telefon tetapi malam tadi tak sempat bercakap dengan arwah yang tidur awal kerana terlalu teruja untuk ke sekolah hari ini (sema­lam).

“Saya terkilan kerana tidak dapat bercakap dengan arwah tetapi reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Hospital Alor Gajah di sini semalam.

Dalam kejadian 7.20 pagi, Nur Aqilah maut selepas badannya terperosok bawah lori yang terba­bas dalam kemalangan membabitkan empat kendera­an.

Empat kenderaan tersebut ialah motosikal dibonceng arwah, kereta Proton Wira, kenderaan Toyota Alphard dan lori tiga tan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu berlaku apabila pemandu Proton Wira memasuki arah bertentangan lalu merempuh Alphard.

“Pemandu lori yang cuba mengelak terlanggar motosikal dinaiki dua beranak itu,” katanya.Arshad berkata, mangsa dan bapanya terperosok ke bawah lori dan kanak-kanak itu disahkan maut di tempat kejadian.

Mayat murid malang itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala bapa mangsa cedera di bahagian kaki.

Pemandu Proton Wira cedera di kepala manakala pemandu Toyota Alphard dan pemandu lori tidak cedera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya