SHAH ALAM: Mural gergasi yang memaparkan gambar pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, di sini diconteng dengan perkataan kotor dan keji.
Perbuatan dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu disedari pekerja sebuah kedai makan pagi ini sebelum memaklumkannya kepada salah seorang pelukis mural gergasi tersebut.
Muhammad Suhaimi Ali berkata, dia menerima panggilan telefon pada pukul 8 pagi memaklumkan lukisan itu diconteng sebelum memaklumkannya kepada dua lagi rakannya.
“Setibanya di lokasi, saya mendapati empat wajah pemimpin yang diabadikan sempena penghargaan mereka dalam memastikan Malaysia bebas daripada ancaman pandemik Covid-19 diconteng dengan menggunakan semburan cat berwarna merah.
“Kami kesal dan terkilan dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab ini. Mungkin mereka dengki atau juga berkait dengan khianat politik,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut dijalankan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengecat semula kesemua mural gergasi tersebut dengan cat berwarna putih. – UTUSAN ONLINE