MBS kaji tebang pokok tinggi - Utusan Malaysia

MBS kaji tebang pokok tinggi

Datuk Zazali Salehudin.- Foto: ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sedang dalam peringkat kajian untuk menebang kesemua pokok yang mempunyai ketinggian melepasi kabel elektrik yang ada di bandar ini.

Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin berkata, perkara tersebut perlu diambil atas faktor untuk mengelakkan kejadian pokok tumbang akibat angin kencang berulang. 

“Namun terdapat juga permasalahan lain yang timbul di mana ada juga warga Seremban ini yang suka dan ada juga warganet yang membantah atas alasan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kelmarin, dalam kejadian di Jalan Sikamat dekat sini, tiga beranak nyaris maut apabila sebatang pokok patah lalu menimpa kenderaan jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Kenderaan tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan namun tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.

Sementara itu, menurut Zazali, hasil siasatan MBS mendapati bahawa pokok tersebut merupakan pokok liar yang tumbuh dan berada di dalam kawasan lot individu. 

“Pihak MBS telah menjalankan tindakan segera dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa pokok tumbang di kawasan kejadian tersebut pada 27 dan 28 Julai lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MBS telah meluluskan sebanyak 21 sebut harga ataupun peruntukkan sebanyak RM4.3 juta bagi tujuan penyelenggaraan pokok dan kontraktor juga telah dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut di seluruh kawasan MBS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN