PUTRAJAYA: Berikutan usaha semua pihak memerangi pandemik Covid-19, kerajaan memilih tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, kata Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tema tersebut juga menunjukkan inisiatif kerajaan merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat.
Katanya, semangat Malaysia Prihatin ini dizahirkan bukan sahaja bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan, malah, pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang.
“Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
“Ini petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang,” katanya sewaktu menyampaikan amanat sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Turut hadir, barisan Kabinet dan ketua-ketua jabatan.
Muhyiddin turut berpesan supaya semangat Malaysia Prihatin ini disemarakkan segenap segi kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha menamatkan wabak Covid-19, sebaliknya memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
“Malaysia Prihatin perlu kita semat dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Kita perlu melakukannya bersama-sama dan dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Sepanjang Bulan Kebangsaan, menurut Muhyiddin, pelbagai program bakal diadakan termasuk Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan pada 9 Julai lalu dan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Ia disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 September ini.
“Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme, saya meminta kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk menggalakkan penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.
“Antaranya, Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka.
“Kesemua aktiviti ini diadakan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Muhyiddin turut menyarankan agar amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian kita.
Katanya, kita semua dengan sendirinya dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di sepanjang tahun tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.
“Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap orang, maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini. Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara. Ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara,” ujarnya. – UTUSAN