KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus unggul sebagai nadi jelapang padi negara.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas MADA peringkat negeri ini yang diadakan di kawasan sawah berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK), Ujong Batu semalam.
Pada kesempatan sama, baginda turut menitahkan ucapan tahniah kepada Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali, seluruh warga kerja MADA dan juga peladang-peladang di Kawasan Muda atas sambutan 50 tahun penubuhannya pada tanggal 30 Jun 2020 lalu.
“Semoga Allah SWT membalas dan melipat gandakan pahala kepada seluruh peladang-peladang yang telah memerah keringat dan bakti dalam memastikan bekalan beras dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negara ini secara amnya dan negeri Perlis ini secara khususnya,” titah baginda.
Sementara itu, Fouzi memberitahu, MADA telah melalui fasa perubahan yang memberangsangkan sejak penubuhannya lima dekad lalu apabila berlaku peningkatan hasil padi dan kualiti kehidupan peladang.
Katanya, sebelum penubuhan MADA dianggarkan sebanyak 72 peratus petani berada di bawah paras kemiskinan, namun selepas 50 tahun dengan pelbagai program yang dijalankan, kadar kemiskinan dapat dikurangkan di bawah paras satu peratus.
“Justeru itu, betapa pentingnya peranan utama yang dimainkan oleh MADA dalam mendorong, menggerak serta menyatukan keseluruhan peladang-peladang dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif bagi mencapai cita-cita penubuhannya.
“Selain itu, MADA juga mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial di mana akan sentiasa berlaku proses keperluan serta peluang-peluang baru,” ujarnya.
Bersempena majlis tersebut, turut diadakan program kayuhan berbasikal khas yang diadakan bersama dengan program rutin baginda iaitu Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-31 bagi tahun 2020.
Kayuhan sejauh 12 kilometer yang disertai oleh 50 orang peserta bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Kampung Binjal, Utan Aji tersebut adalah bagi menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih.
Sebelum mengakhiri program, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menanam pokok ros ‘The Prince’ di Aji Heritage Farm (AHF) di Utan Aji iaitu lokasi terakhir pada program kayuhan berbasikal khas itu.
AHF adalah salah satu lagi destinasi baharu agro pelancongan di Perlis. Ia adalah pusat jualan mempelam harumanis Perlis, Perlis Sunshine.