KUANTAN: “Macam mana mak cik hendak bayar, duit pun sudah tiada. Empat tahun mak cik tiada pendapatan, hidup pun hasil sumbangan anak-anak”.
Demikian luahan peneroka Felda Bukit Goh, Sarifah Jamaluddin, 69, di sini yang buntu memikirkan cara membayar cukai pendapatan hasil perlombongan bauksit kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ibu tunggal itu yang tidak mahu mendedahkan amaun cukai perlu dibayarnya berkata, dia tidak menyedari perlu membuat pembayaran berkenaan kerana tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
“Sekarang mak cik nak bayar dengan apa? Kalau dulu bagi penerangan senang, bolehlah buat simpanan atau persediaan. Suami sudah meninggal dunia akibat asma pada 2017.
“Bantulah kami, empat tahun kami tiada pendapatan. Mulakan segera perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh ini supaya kami dapat membayar cukai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi peneroka, Lijah Ibrahim, 70, turut buntu memikirkan cara hendak membayar cukai pendapatan sebanyak RM176,000 itu kepada LHDN.
“Surat mahkamah telah diterima sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, bagaimana saya dan keluarga hendak bayar kerana pendapatan bulanan tiada,” ujarnya.
Katanya, nasib malang juga menimpa keluarganya apabila ditipu pengusaha bauksit yang tidak membayar penuh jumlah dijanjikan.
Sarifah antara sejumlah peneroka yang terjerat masalah untuk membayar cukai pendapatan dan berharap mendapat perhatian kerajaan.