JITRA: Seorang peniaga restoran nasi kandar di pekan Napoh ditahan kerana ingkar syarat kuarantin di rumahnya di sini hari ini.
Menurut sumber, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 9 pagi di restoran miliknya.
Peniaga terbabit dipercayai baru pulang dari India pada 13 Julai lalu dan perlu menjalani kuarantin dua minggu di rumah.
“Keputusan saringan Covid-19 yang pertama negatif dan dia perlu melakukan saringan kedua minggu depan,” kata sumber itu
Jelas sumber, lelaki berkenaan mengaku berada di restoran untuk memantau perniagaannya.
Tindakan lelaki itu menyebabkan dia dikompaun RM1,000 dan diarahkan menjalani kuarantin.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim mengesahkan tangkapan tersebut.- UTUSAN ONLINE