ALOR SETAR: Seorang kontraktor direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan tuntutan palsu dianggarkan bernilai RM50,000.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Rashidah Azmi.
Kontraktor berusia 48 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 7.35 malam tadi.
Sementara itu, sumber SPRM negeri memberitahu, lelaki itu ditahan selepas disyaki terbabit kemukakan tuntutan palsu bayaran pembelian dan selengaraan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kem di negeri ini pada November 2017.
Katanya, kontraktor itu ditahan susulan penahanan anaknya, pengurus syarikat, di pejabat SPRM negeri pada pukul 12.12 tengah hari Ahad lalu.
“Pengurus berusia 27 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan dua beranak tersebut.