‘Kluster keputusan Najib’: Polis beri amaran - Utusan Malaysia

‘Kluster keputusan Najib’: Polis beri amaran

SEBAHAGIAN daripada penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada semua pengunjung Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Amaran tersebut disampaikan melalui pembesar suara dari sebuah kereta peronda selepas para pengunjung yang menanti keputusan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berkumpul terlalu rapat dan tidak memakai pelitup muka.

Pengunjung diingatkan bahawa negara kini masih dalam PKPP dan orang ramai perlu mematuhi penjarakan sosial serta memakai pelitup muka dengan betul.

Penyokong Najib kini berkumpul di perkarangan kompleks mahkamah ini selepas menyambut kehadiran Ahli Parlimen Pekan itu ke mahkamah pagi tadi.

Najib merupakan bekas Perdana Menteri pertama yang didakwa di mahkamah di negara ini menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM42 juta.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun dan juga boleh didenda jutaan ringgit.

Setakat ini, Mahkamah Tinggi mendapati pihak pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan atas imbangan kebarangkalian bagi pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Mahkamah kini sedang membacakan keputusan bagi pertuduhan-pertuduhan lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya